2011/01/12
KUALA LUMPUR: Penggunaan gari oleh pasukan keselamatan termasuk polis bantuan terhadap individu yang tidak melakukan provokasi fizikal adalah tidak rasional dan relevan.Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sebaliknya jika individu itu bertindak ganas, mempunyai senjata atau menyerang pihak berkuasa, gari boleh digunakan sebagai langkah pencegahan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ditumbuk dan digari oleh anggota polis bantuan berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) tiga hari lalu.
Ketika hendak beredar dari tempat itu, polis bantuan terbabit meminta beliau memberhentikan motosikal namun Hairul Nizam enggan berbuat demikian kerana tidak tahu tujuan mereka.
Lee berkata, tindakan polis bantuan terbabit menumbuk jurugambar itu juga disifatkan sebagai keterlaluan dan melampau serta boleh mencemarkan imej pasukan polis bantuan khususnya.
"Tiada rasionalnya guna gari jika individu itu tidak melakukan satu tindakan yang disifatkan ganas kecuali jika benar dia bertindak menyerang atau mencederakan, maka penggunaan gari itu dilihat bersesuaian.
"Malah saya amat dukacita apabila wujud unsur kekerasan dalam insiden ini di mana ia boleh disifatkan sebagai salah guna kuasa oleh polis bantuan dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, insiden seperti itu tidak seharusnya berlaku sama ada melibatkan pemberita atau orang awam yang lain dan ia seharusnya dijadikan pengajaran oleh pasukan polis bantuan agar imej mereka tidak tercalar.
Jika didapati bersalah, anggota terbabit harus dikenakan tindakan disiplin yang setimpal, katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, gari boleh digunakan dalam tujuan untuk mengelak dari kemungkinan orang yang ditahan melarikan diri tetapi tidak seharusnya diguna dengan sewenang-wenangnya.
"Kegunaan gari adalah untuk menentukan orang tahanan selamat ditahan dan diguna apabila perlu sahaja. Dalam insiden itu, barangkali anggota terbabit berasakan mereka perlu menggunakan gari.
"Bagaimanapun anggota bertugas harus menimbangkan segala keadaan termasuk kategori individu berkenaan, sikap dan kesalahan orang yang ditahan sebelum membuat keputusan menggunakan gari," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata polis bantuan mempunyai kuasa yang hampir sama dan setaraf dengan kuasa polis biasa termasuk boleh menahan mana-mana individu yang disyaki, cuma kuasa mereka terhad dalam tempat kawalan mereka.
Mereka juga dilarang menggunakan sebarang bentuk kekerasan sama seperti anggota polis biasa, oleh itu mereka turut boleh diheret ke mahkamah jika didapati bersalah menyalahgunakan kuasa, katanya. - BERNAMA
SUMBER BERITA
No comments:
Post a Comment